KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd melantik Datuk Voon Tin Yow sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, berkuat kuasa 2 Feb, 2024.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Mah Sing menjelaskan Voon, 66, mempunyai pengalaman kerja selama 40 tahun dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah termasuk tiga tahun dalam pengurusan tapak pembinaan.

"Sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing Group, beliau akan menyelia operasi perniagaan hartanah dan melaporkan secara langsung kepada Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum," tambahnya.

Dalam kenyataan berasingan, Mah Sing memaklumkan bahawa Datuk Ho Hon Sang akan meletakkan jawatan sebagai CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 Feb, 2024 dan akan kekal sebagai Pengarah Eksekutif sehingga 31 Mac, 2024 untuk memudahkan peralihan yang lancar.

Menerusi kenyataan lain kepada Bursa Malaysia, Mah Sing memberitahu bahawa pihaknya melantik Lionel Leong Jihn Haur, 35, sebagai Timbalan CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif, berkuat kuasa 2 Feb, 2024.

Lionel ialah anak kepada Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan serta seorang pemegang saham utama Mah Sing Group Bhd, Leong.

Lionel yang memegang 142,187 saham biasa syarikat itu juga ialah anak saudara kepada Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Seri Leong Yuet Mei.

"Beliau (Lionel) akan membantu dalam menyelia operasi perniagaan hartanah dan melaporkan terus kepada CEO Kumpulan," tambah Mah Sing.

-- BERNAMA